aishiteiru kara

Monday, October 29, 2007

UMRAH II







Selepas Zohor, kami memulakan perjalanan ke Makkah , menuju Baitullah. Kami berniat ihram di Bir Ali. Dalam perjalanan , kami singgah makan di sebuah perhentian. Hmmm, kami memilih untuk makan nasi dan ayam panggang berempah. Satu pinggan terpaksa dikongsi berdua, terlalu banyak untuk dihabiskan seorang. Di saat perut lapar, nasi dan ayam panas begitu menyelerakan sekali.

Kami sampai di Makkah hampir pukul 10 malam. Perasaanku bercampur baur. Gembira, sedih, takut, semuanya ada. Sesungguhnya, betapa Maha Pemurah dan Maha Pengasih nya Allah kepada hamba-Nya, aku yang banyak berdosa ini masih lagi diterima untuk berkunjung ke rumah-Nya.

Kami merancang terus mengerjakan umrah pertama pada malam itu juga. Saat melihat Baitullah, tak tergambar perasaanku. ALLAHUAKBAR!! ALLAHUAKBAR!! ALLAHUAKBAR!! Hamba-Mu ini datang menyembah-Mu Ya Allah. Memohon keredhaan-Mu. Ampunkan aku. Tanpa kusedari, air mataku ini mengalir lagi.

Di Madinah , cuacanya panas kering. Yang anehnya, kuasa Allah, tak berpeluh. Tapi di Makkah, agak panas dan lembap sedikit. Dan di sini, baju memang kerap perlu disalin kerana peluh yang mengalir. Kalau difikirkan, bagus juga begitu. Kerana banyak toksin dapat dikeluarkan.

Alhamdulillah, kami sempat meraikan Ramadhan di Makkah. Berpuasa , iftar, tarawikh di Masjidil Haram, mendengar alunan syahdu doa dan ayat suci dari As-Sudais. Menghadap setiap saat ke Baitullah. Tenangnya ku rasa. Ketenangan yang tak mungkin ku dapat di mana-mana. Di sini, kebiasaannya selepas Asar ramai yang terus beriktikaf di masjid, menunggu waktu berbuka. Kami tak perlu risau tentang makanan, kerana ada sahaja yang bermurah hati bersedekah tamar dan syahi (teh arab). Air zam zam juga terdapat di merata masjid. Minumlah sebanyak mana pun. Syukur ku kepada Ilahi.

Ukhwah islamiyah begitu ketara di sini. Pelbagai bangsa datang ke mari dengan satu tujuan, mengharap keampunan Allah yang Maha Esa. Aku sempat berkenalan dengan mereka yang datang dari India, Mali, Maldives, Iran, Kuwait dan Indonesia. Seronok dapat mengenali budaya mereka. Mazhab yang berbeza juga menuntut kita untuk lebih toleran.

Rukun umrah kurang sedikit berbanding rukun haji. Untuk menunaikan umrah sunat, kami perlu berniat di Miqat Tanaim. Selalunya sebelum sahur, dalam pukul 2 pagi , kami akan menaiki bas ke sana. Seperkara lagi yang menarik, di sini malam sentiasa hidup. Tak dapat dibezakan antara pukul 8 malam dan 2 pagi. Manusia begitu ramai sekali. Selepas kembali dari miqat, biasanya kami akan bersahur dahulu di bilik. Kemudian bergegas ke Masjid untuk menunaikan solat Suboh. Selepas Suboh, barulah kami menunaikan tawaf, saei antara Safa dan Marwah, dan bergunting. Sememangnya, di bulan Ramadhan, lebih ramai yang datang berkunjung ke mari. Bersyukur ku kepada mu Ya Rabbi, Kau telah mempermudahkan urusan kami. Alhamdulillah.

Sempat juga kami dibawa berziarah di sekitar kota Makkah. Kami dibawa ke Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina, Jabal Nur, Jabal Thur dan Ja’ranah untuk kami berniat umrah. Kami juga berkunjung ke ladang unta. Dapatlah juga membeli beberapa botol susu unta untuk dibawa pulang. Comel-comel lah unta kat sini. Hehe..

Sepanjang di tanah suci ini, satu yang dapat kupelajari, masyarakat di sini begitu mementingkan solat. Setiap kali azan berkumandang, akan disambut dengan derapan kaki ke rumah Allah. Bagi yang berniaga, ada yang membentangkan sejadah di jalan menunaikan kewajibannya. Antara ramai manusia di sini, ada sekelompok manusia ini yang begitu ku kagumi. PENCUCI! Ya, pencuci di Masjidil Haram. Mereka begitu komited dan ikhlas menjalankan tugas . Aku rasakan diriku ini kecil sahaja berbanding mereka. Setiap hari, dengan mudah mereka mendapat pahala. Walau di dalam kerja. Hmmm.. Rezeki Allah buat mereka.

Kami menetap di Al-Raed1 , 5 minit berjalan kaki dari Masjidil Haram. Walau keadaan bilik amat sederhana, tapi aku bersyukur kerana jaraknya yang begitu dekat dengan masjid cukup memudahkan kami. Aku teringat satu peristiwa , waktu itu selepas Zohor, aku hendak ke pulang ke bilik sebentar . Ketika mengambil sandalku di rak kasut, aku terpandang seseorang. Lelaki itu, dengan kaki yang kudung sebelah, dengan penongkat di lengan, menadah tangan menghadap ke Bab (pintu masuk ke masjid). Raut wajahnya waktu itu, benar-benar membuat aku rasa sayu. Penuh dengan keinsafan, dia berdoa ke hadrat-Nya. Air matanya tak henti-henti mengalir. Terkesima aku. Aku yang dilahirkan sempurna ini yang selalu alpa. Ampun kan aku Ya Allah.

Setelah lapan hari di Makkah, tibalah saat berpisah. Begitu banyak peristiwa yang berlaku di sini. Begitu banyak keajaiban yang aku saksi dan rasakan. Biarlah ku simpan ia dalam hati. Tawaf Wida’ kukerjakan, dan doa kupohon agar ini bukan yang terakhir.
Hanya satu pinta ku , ya Rabbi, redhakanlah aku, di dunia dan akhirat nanti. Amiin.

1 Comments:

  • meremang bulu roma aku lin.. berharganya pengalaman kau ni.. tak ternilai.. syok baca entry kau..

    By Blogger cahaya petunjuk, At 4:35 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home