aishiteiru kara

Monday, October 29, 2007

UMRAH I








Sebenarnya, dah lama aku buat catatan ni.. Cuma tak sempat untuk ku habiskan. Tanggal 8 September lalu, alhamdulillah aku selamat menunaikan umrah. Bersyukur aku kepada Allah akhirnya impian ku untuk menjadi tetamu-Nya dikabulkan . Dan lebih-lebih lagi aku bersyukur kerana sepanjang pemergianku, segalanya dipermudahkan.

Menjejakkan kaki ke dua tanah haram ini seperti mimpi menjadi nyata. Aku pergi bersama K Za, rakan office. Disebabkan kami pergi sendiri, Utas terpaksa mendapatkan seorang mahram buat kami. Alhamdulillah, pakcik Akhil dan makcik Harisah sudi menjadi mahram kami. Mereka bukan sahaja menjaga kami, malah turut membimbing kami sepanjang di sana. Jasa mereka tak mungkin dapat aku lupakan.

Perjalanan dari KLIA ke Jeddah mengambil masa 8 jam. Kami tiba di lapangan terbang Jeddah lebih kurang 5.30 petang waktu Arab Saudi. Di sana, petugas Utas sudah sedia menunggu, dan kami meneruskan perjalanan dengan bas ke Madinah. Tak dapat kugambarkan perasaan ku waktu itu, berpeluang menjejakkan kaki ke bumi di mana jasad Rasulullah SAW bersemadi. 5 jam perjalanan tak terasa penatnya.

Keesokan harinya, alhamdulillah kami berkesempatan menunaikan solat Suboh berjemaah di Masjid Nabawi. Di sini, guard yang menjaga bahagian Muslimah juga perempuan. Mereka akan memeriksa barang yang dibawa sebelum dibenarkan masuk. Oh ya, jangan lupa, kamera tidak dibenarkan sama sekali. Dan jangan pula terkejut sekiranya mereka memanggil kita dengan ‘Hajah’. Mudah-mudahan.

Terkedu aku melihat betapa ramainya manusia berpusu-pusu di awal pagi untuk menyembah-Nya. Rasa kerdilnya diri ini. Rasa betapa banyaknya kekuranganku. Ternyata fajar itu begitu bermakna buat diriku.

Tiga hari di Madinah diisi dengan aktiviti ziarah. Hari pertama, oleh kerana Muslimah tidak dibenarkan melawat makam Rasulullah dan perkuburan Baqi’, kami menghabiskan masa menunggu untuk berkunjung ke Raudhah. Mereka yang dari Asia diasingkan bersama Muslimah dari Turki. Alasannya, wanita Arab lain begitu agresif. Bimbang berlaku sesuatu yang tidak baik, kami diasingkan supaya dapat turut beribadah di taman syurga ini. Seboleh-bolehnya, aku cuba berfikiran positif dengan sikap agresif mereka ini, mungkin keadaan persekitaran mereka yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikian. Dan mungkin kerana itu juga Islam diturunkan di tanah Arab.

Alhamdulillah setelah dua jam menunggu, doaku untuk bersolat di Raudhah di kabulkan.

Hari kedua kami di bawa melawat tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud, Masjid Tujuh dan pasar kurma. Banyak juga kurma dan coklat yang kuborong. Maklumlah, ramai rakan-rakan dan kaum kerabat di kampung.
Hari ketiga, setelah menunaikan ziarah wida’ , kami dibawa ke kilang al-Quran. Di sini, hanya Muslimat saja dibenarkan masuk ke dalam kilang. Muslimah menggunakan masa dengan ‘shopping’ , pelbagai bentuk al-Quran dan MP3 ada di kedai al-Quran ini. Begitu berkembangnya Islam, terjemahan kitab suci ini boleh didapati dalam lebih 50 bahasa. Menurut Ustaz, al-Quran di sini dihasilkan dengan begitu teliti sekali. Ia akan diperiksa dahulu oleh pakar supaya tiada kesalahan tajwid atau mutu tulisan yang tidak menepati standard. Mana-mana bahagian yang kurang bermutu akan dibakar untuk memulihara kesuciannya.

1 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home